Bismillahirrahmanirrahim…
Lebih kurang dua minggu lagi kita umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan ramadhan. Bulan ramadhan adalah bulan yang istimewa, iaitu bulan turunnya kitab suci al-Quran yang menjadi kitab perlembagaan umat Islam, bulan yang banyak mengandungi kelebihan, keberkatan dan keistimewaan.
Bulan ramadhan juga adalah bulan yang membawa berbagai-bagai hikmah dan rahsia. Sebab itu ianya (ramadhan) merupakan kekasih kepada setiap mukmin sejati yang sentiasa ditunggu-tunggu ketibaannya dan kedatangannya.
Di samping itu, ada pula orang yang kesal dengan kedatangan bulan ramadhan lalu menyambutnya dengan bermasam muka sebab dianggapnya akan mendatangkan kerugian baginya. Sekurang-kurangnya mengekang keinginan dan kebiasaannya. Diri tidak bebas lagi untuk makan dan minum di waktu siang hari dan menghembuskan asap rokoknya kerana mungkin ada perasaan segan-segan terhadap sesama muslim yang mengerjakan ibadah puasa dan takutkan undang-undang pentadbiran jabatan agama. Dia merasakan hak-hak asasnya dibatasi dan dianggap bertentangan dengan prinsip-prinsip kebebasan.
Bulan ramadhan merupakan tetamu agung yang datang berkunjung hanya sekali setahun dengan rombongannya sebanyak 30 atau 29 hari yang wajib dan wajar sekali disambut dengan penuh kegembiraan, hormat dan ta’zim serta layanan yang baik. Sabda Rasulullah SAW :
“Telah datang bulan ramadhan, penghulu segala bulan, maka hendaklah kita mengucapkan selamat datang kepadanya, telah datang bulan puasa segala keberkatan, maka hendaklah memuliakan tetamu yang datang itu.”
Tetamu agung ramadhan itu membawa beberapa kelebihan sebagai hadiah yang akan dibahagikan kepada sesiapa sahaja di antara muslimin dan muslimah yang menyambut kedatangannya dengan baik dan mengerjakan apa yang disukainya selama 30 atau 29 hari itu. Antara kelebihannya ialah :
Pertama : Beroleh Taqwa
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 :
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.”
Kedua : Terampun segala dosa
Rasulullah SAW telah bersabda :
“Barangsiapa mendirikan ramadhan (menghidupkan ramadhan dengan cara berpuasa disiang hari, bersembahyang terawih dan witir pada malamnya serta membanyakkan kerja-kerja kebajikan yang lain) dalam keadaan beriman dan mengharapkan keredhaan Allah SWT diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Ketiga : Malam lailatul Qadar
Malam lailatul Qadar adalah malam yang sangat istimewa di mana barangsiapa beribadat pada malam itu maka digandakan pahalanya lebih daripada beribadat selama 1000 bulan atau 80 tahun yang tidak ada lailatul qadar padanya.
Oleh itu, sebagai seorang muslim marilah kita menyambut kedatangan bulan ramadhan dengan penuh kegembiraan, penuh harapan dan syukur, keriangan, penuh kerelaan dan keikhlasan.
Dengan demikian, melangkah memasuki gerbang ramadhan bererti memasuki gerbang latihan. Maka wajarlah kita menyiapkan perbekalan yang perlu seperti mengulangkaji pelajaran-pelajaran berkaitan dengan puasa, memperlihatkan kesenangan hati dan ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan ramadhan, memperbanyakkan berdoa semoga Allah SWT memberi kesihatan dan tenaga dan lain-lain lagi.
Bagaimana pula persiapan anda untuk menyambut kedatangan bulan yang penuh dengan keberkatan (ramadhan) tidak lama lagi ? Apa komen anda…
SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN.....jangan poteng puasa pulak....hahahaha
No comments:
Post a Comment